Sabtu, 15 Ogos 2009

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 15 Ogos 2009

Diberitahu sehingga 15 Ogos 2009 jam 9.00 pagi terdapat seramai 120 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 29 lagi dirawat di ICU. Daripada 29 kes yang sedang menerima di Unit Rawatan Rapi, di dapati 16 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (7), asma (3), obesiti (2), kecacatan otak (2), hamil (1) dan post-delivery (1).

Untuk makluman sebanyak 3 kematian telah dilaporkan. Semua kematian mempunyai faktor risiko, iaitu obes (1) dan valvular heart disease (1) dan asma (1). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:-

  1. Seorang lelaki berumur 22 tahun, obes, dimasukkan ke hospital pada 9.8.09 kerana simptom infuenza. Swab tekak diambil dan rawatan antiviral telah dimulakan pada 10.08.09. Beliau meninggal pada 12.08.09 kerana Viral pneumonia. Disahkan positif Influenza A(H1N1) setelah meninggal dunia pada 12.08.09.

  2. Seorang lelaki berumur 29 tahun, mempunyai faktor risiko penyakit jantung (valvular heart disease) dimasukkan ke hospital pada 10.8.2009 kerana simptom influenza yang teruk selama 2 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi pada 10.08.09. Meninggal dunia pada 12.08.09. Penyebab kematian adalah severe bronchopneumonia. Disahkan positif Influenza A(H1N1) pada 14.08.09

  3. Seorang wanita berumur 44 tahun dengan sejarah asma. Dimasukan ke hospital pada 08.08.09 kerana simptom influenza selama 5 hari. Diberi rawatan antiviral pada 09.08.09 dan disahkan didapati positif influenza A(H1N1) pada 10.08.09. Meninggal dunia pada 13.08.09 disebabkan oleh pneumonia.

Kementerian Kesihatan mendapati orang ramai yang mempunyai simptom influenza yang ringan masih mengunjungi tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, pergi melancong, pergi ke tempat kerja atau sekolah serta masih lagi menaiki kenderaan awam. Didapati juga mereka ini tidak memakai topeng muka dan kebanyakkan yang memakai topeng muka adalah mereka yang sihat. Amalan ini boleh meningkatkan penularan jangkitan virus influenza A(H1N1) melalui batuk atau bersin. Sepatutnya orang awam yang mempunyai simptom influenza yang ringan tidak melakukan amalan-amalan di atas. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai simptom influenza untuk berada di rumah sehingga tiada simptom dan sihat dan tidak mengunjungi tempat awam, tidak menggunakan pengangkutan awam, menangguhkan rancangan untuk melancong ataupun tidak ke tempat kerja atau sekolah.

Daripada pemantauan terhadap pertanyaan orang ramai melalui talian hotline dan e-mail, didapati persoalan masih berkisar kepada rawatan antiviral dan vaksin influenza A(H1N1). Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa ubat antiviral hanya untuk tujuan rawatan dan bukan pencegahan (profilaksis). Ubat antiviral ini boleh didapati di hospital atau klinik kerajaan secara percuma.

Rawatan antiviral hanya diberikan kepada 3 kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

  1. Individu yang mempunyai simptom influenza-like illness (ILI) dan mempunyai faktor risiko.

  2. Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>38°C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

  3. Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

Orang ramai perlu mengambil maklum bahawa vaksin khas untuk influenza A(H1N1) belum dihasilkan lagi. Vaksin yang ada di pasaran pada masa ini adalah vaksin untuk seasonal flu.

Orang ramai juga terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 15 Ogos 2009

di ceduk di

http://h1n1.moh.gov.my


0 comments:

Catat Ulasan

 

Santai Online Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template